Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap
menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya
selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang
seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair.
al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang
terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair
mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :
"Setiap
mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih
teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu
ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, niscaya aku bunuh
diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan
kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang
Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang semuanya diajar ilmu bersya'ir dan
dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk
berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya
sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan bahaya.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab
menyediakan satu pasukan tempur untuk menyerang negeri Persia. Semua muslim
dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka
terkumpulah 41,000 orang tentara. Khansa telah mengerahkan keempat puteranya
agar ikut mengangkat senjata dalam perang tersebut. Khansa sendiri juga ikut
serta ke medan pertempuran dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat
dan menaikkan semangat para mujahid.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang
sebentar lagi akan menuju ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu
telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela
pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian
adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah
mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-saudaramu, aku
tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah hubungan
kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah swt kepada kaum
muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasaya kampung yang
kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali
Imran,
"Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan
teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang
yang beruntung."
Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat
ibunda yang mereka sayangi.
Kemudian Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok
pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang melawan
musuh. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika
kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api
peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah
puncaknya ketika terjadi pergolakan pertempuran, semoga kamu akan menang
mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar
sembahyang masing-masing untuk melaksanakan sholat Subuh, kemudian berdoa
semoga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga. Selanjutnya Saad bin Abu
Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik
mungkin. Seruan perang terdengar. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari.
Pada hari ketiga mulailah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam
melawan tentera Persi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat
tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .
Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki
syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari Khansa, mereka tidak sedikit pun
berasa takut. Sambil mengibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair.
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak
pengalaman, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara
yang keluar dari mulutnya bermakna dan berfaedah. Insya' Allah akan kita
buktikan sebentar lagi."
Kemudian ia maju menyerang setiap musuh yang datang.
Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang
menghadang. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,
"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat
dari ibunda kami nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati.
Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur musuh-musuh
bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar Parsi musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan
beraninya dan bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat semangatnya, tetap
tegas dan tidak goncang, beliau telah
menggalakkan kita agar bertindak cekatan dan berakal cemerlang, itulah nasihat
seorang ibunda terhadap anak-anaknya sendiri Mari! Segera memasuki medan tempur
dan segeralah untuk mempertahankan diri. Dapatkan kemenangan yang akan membawa
kegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang akan mewarisi kehidupan
yang abadi."
Terakhir anak keempat menghunus pedang dan melompat
menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera Khansa, bukanlah aku anak
jantan dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau
aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terbenam ke
jurang kehancuran, dan musnah oleh keganasan senjataku."
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad
bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa dari ibundanya yang berada di
garis belakang. Pertempuran berjalan hebat. Tentera Islam pada mulanya
kebingungan dan kacau kerana taktik tentera Persi menggunakan tentera bergajah
di barisan depan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang
binatang besar itu. Namun tentera Islam dapat melukai gajah-gajah itu dengan
memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan
menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Parsi. Kesempatan
ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang Parsi
dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari terbirit-birit menyeberangi
sungai dan terus dihujani panah oleh tentara Islam hingga air sungai menjadi
berwarna merah. Pasukan Parsi mengalami kekalahan, dari 200,000 tentaranya
hanya sebagian kecil saja yang dapat menyelamatkan diri.
Umat Islam lega. Kini mereka mengumpulkan dan merawat
tentara Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan
Qadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan dari 7,000 orang syuhada
itu terbujur empat orang anak-anak Khansa. Saat itu ramailah tentera Islam yang
datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat anaknya telah menemui
syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak
bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,
"Segala
puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku
mengharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat
tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali ke Madinah bersama para perajurit yang
masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran
Qadisia. Dari peristiwa pertempuran itu wanita penyair ini mendapat gelar
kehormatan Ummu syuhada yang artinya ibu dari orang-orang yang mati
syahid."
Post a Comment