Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :
"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, niscaya aku bunuh diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang semuanya diajar ilmu bersya'ir dan dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan bahaya.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menyerang negeri Persia. Semua muslim dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpulah 41,000 orang tentara. Khansa telah mengerahkan keempat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang tersebut. Khansa sendiri juga ikut serta ke medan pertempuran dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat para mujahid.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan menuju ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-saudaramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah hubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah swt kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasaya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran,
"Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung."
Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat ibunda yang mereka sayangi.
Kemudian Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang melawan musuh. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncaknya ketika terjadi pergolakan pertempuran, semoga kamu akan menang mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk melaksanakan sholat Subuh, kemudian berdoa semoga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga. Selanjutnya Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik mungkin. Seruan perang terdengar. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga mulailah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Persi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .
Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari Khansa, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair.
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bermakna dan berfaedah. Insya' Allah akan kita buktikan sebentar lagi."
Kemudian ia maju menyerang setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang menghadang. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,
"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibunda kami nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati. Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur musuh-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar Parsi musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat semangatnya, tetap tegas dan  tidak goncang, beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekatan dan berakal cemerlang, itulah nasihat seorang ibunda terhadap anak-anaknya sendiri Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri. Dapatkan kemenangan yang akan membawa kegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang akan mewarisi kehidupan yang abadi."
Terakhir anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera Khansa, bukanlah aku anak jantan dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terbenam ke jurang kehancuran, dan musnah oleh keganasan senjataku."
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa dari ibundanya yang berada di garis belakang. Pertempuran berjalan hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana taktik tentera Persi menggunakan tentera bergajah di barisan depan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang besar itu. Namun tentera Islam dapat melukai gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Parsi. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang Parsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari terbirit-birit menyeberangi sungai dan terus dihujani panah oleh tentara Islam hingga air sungai menjadi berwarna merah. Pasukan Parsi mengalami kekalahan, dari 200,000 tentaranya hanya sebagian kecil saja yang dapat menyelamatkan diri.
Umat Islam lega. Kini mereka mengumpulkan dan merawat tentara Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Qadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan dari 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang anak-anak Khansa. Saat itu ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,
"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Qadisia. Dari peristiwa pertempuran itu wanita penyair ini mendapat gelar kehormatan Ummu syuhada yang artinya ibu dari orang-orang yang mati syahid."

Post a Comment

 
Top